The Arrival by djneohell via deviantart
Kereta api pagi
itu lambat bergerak. Mengikut tiket, 7:45 pagi. Orang selalu kata;
“cepat-cepat, nanti kereta api tinggal.” Kenapa kereta api? Kenapa bukan bas?
Kenapa bukan teksi? Ahmad pernah mendengar, entah dari siapa, entah betul atau
tidak, orang guna terma kereta api tu sebabnya selalunya kereta api bergerak
betul-betul ikut masa, ikut jadual. Selalunya. Pagi itu Ahmad berseorangan.
Seorang. Bersendirian di stesen kereta api Butterworth.
“Johor? kenapa
hang pi jauh sangat?.” Semenjak kawan-kawan Ahmad tahu yang dia akan ke Johor,
itulah soalannya. Soalan yang selalu dihadapkan kepadanya.
Ahmad kata dia nak
cuba jalan seorang-seorang. Sendiri-sendiri. Ah, dia nak tenang agaknya.
Mungkin dia nak lari dari kebisingan. Entah, Ahmad pun tak tahu sebenarnya.
Boleh jadi dia nak kutip pengalaman.
Pukul 8.30 kereta
api mula bergerak. Lambat. Jentera tidak bertayar itu mula meninggalkan stesen
tua itu. Tua, tapi gah. Gerabak E itu hujung sekali. Kerusi nombor 9 sebelah
tingkap. Ahmad duduk di situ. Sendirian lagi. Sendirian di kerusi nombor 9
sebelah tingkap. Kerusi di sebelahnya kosong. Kerusi nombor 10 juga kosong.
Kerusi nombor 10 sebelah tingkap tak terkecuali; tak berpenghuni.
Itu yang tak
berpenghuni. Tapi, di depan Ahmad ada yang menduduki. Dua orang. Sepasang,
lebih tepat. Warga emas kedua-duanya. Menerusi perbualan mereka berdua dengan
seorang wanita, Ahmad tahu mereka berdua dari Baling. Oh ya, wanita itu sepertinya berusia dalam
lingkungan lewat 20-an. Melalui perbualan mereka bertiga, destinasi mereka
ialah Keluang. Ah, kuat benar suara mereka.
“Kami dari Sungai
Petani. Nak pi Singapore. Ayah depa gheja kat sana. Nak melawat la ni,”
satu-satu perkataan telinga Ahmad menangkap. Seorang ibu dan tiga anak. Wajah
manis-manis. Ada iras-iras mamak. Benggali pun ada. Arab pun ada sikit-sikit.
Anak-anaknya dua lelaki, seorang perempuan. Perempuan itu. Di tangannya ada
satu buku. Ah, kenal benar Ahmad akan buku biru itu. Dari jauh dia nampak
gambar mutiara. Bahasa Inggeris. The Pearl, novel bahasa Inggeris untuk murid
tingkatan lima. Manis. Bukan buku itu yang manis, pemegang buku itu yang manis.
Ahmad tersenyum.
Entahlah. Ahmad
berteman sebenarnya. Temannya itu bukanlah orang. Bukanlah jin. Apatah lagi
bunian. Hantu wanita Mongolia lagilah bukan. Surat-surat Perempuan Melayu Johor
menemaninya. Ah, dia tenggelam. Dia hanyut. Ahmad tenggelam lagi hanyut dalam
surat-surat yang memukau. Terpukau dia sebenar-benarnya. Fakta bahawa Kerajaan
Johor erat sekali hubungannya dengan Kerajaan Uthmaniah memabukkan Ahmad. Dia
mabuk dalam lautan sejarah.
Ahmad menelusuri
warkah serta surat Ungku Hamidah dan Ungku Nur. Disulamnya warkah-warkah itu
dengan pantun berbunga tapi tak dilupakan falsafahnya. Dia terserempak Majalah
Ahkam Johor yakni Majalah al-Ahkam al-Adliyyah Turki itu tetapi versi Johor.
Dia dibawa menerewang dalam proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu
Bakar yang dimasyhurkan dengan nama Maharaja Abu Bakar dalam buku teks Sejarah
semasa dia sekolah dulu. Ahmad tak pernah lupa itu. Almarhum Sultan Ibrahim tak
ketinggalan dalam proses penting bagi Johor itu. Proses yang menyebabkan
British malu-malu, segan-segan mahu meletakkan residen di Johor; seperti
Negeri-negeri Melayu Bersekutu lain. Ah, yang terpenting mengenai surat-surat
itu; hubungan erat Johor dan Turki serta cita-cita mengenepikan sekularisasi
sebagai tenaga memulihkan kegemilangan sejarah
demi mencapai kemurnian akidah.
Sekularisasi.
Attaturk jahanam!
Oh ya, buku teks.
Ahmad ada pandangan mengenainya. Khususnya buku teks Sejarah. Pemerintah akan
memanipulasikan sejarah mengikut acuannya. Yang hitam dipadam. Yang putih
disimpan. Boleh juga yang hitam diputihkan. Kebenaran? Apakah kebenaran? Itu
pandangannya. Ah, namanya pun dari manusia. Tak sempurna? Ubahlah. Hanya dari
Pemilik Manusia sahaja yang sempurna dan tak terubah. Al Quran. Itu contohnya.
Cuma, pandangannya itu di otaknya sahaja. Tak diterjemahkan ketika menjawab
kertas soalan peperiksaan di sekolah. Ikut buku, ikut silibus. Ikut sahaja. Tak
ikut, salah mandatori.
by the window by salmawatts via deviantart
Ahmad tersenyum.
Wan Athirah. Ya, dia tersenyum kepada Wan Athirah yang kulitnya manis-manis.
Wan Athirah yang namanya baru sahaja direka-reka Ahmad. Wan Athirah, anak
perempuan seorang ibu yang ingin membawa keluarganya ke ‘Singapore’ dengarnya.
Entah kenapa dinamakannya Wan Athirah. Wan Athirah yang manis itu sikit pun tak
memandang Ahmad. Ahmad memang suka tersenyum melihat perempuan semanis Wan
Athirah.
15 jam. Ahmad
baca, kemudian tidur. Bangun tidur, dia makan biskut. Seterusnya menyambung
pembacaan. Kitaran aktivitinya di dalam kereta api. 15 jam juga Ahmad selalu
sahaja curi-curi pandang Wan Athirah dan tersenyum.
Pukul 7:15 petang.
Warnanya jingga. Senja di Segamat. Ah, pemandangan bak savannah nun di Afrika.
Tepatnya, Batu Anam. Senja yang cantik. Tasbih dan tahmid tak dilupakan.
Gerabak E dimasuki sinar jingga senja Batu Anam, Segamat. Begitu juga gerabak
D, C, B, dan A.
Oh ya, Ahmad solat
tadi. Lebih kurang pukul 3.30 petang. Di Seremban agaknya. Dia ingat-ingat
lupa. Yang pasti, dia solat. Solatnya secara duduk. Menghadap kiblat sewaktu
berniat, dan berpaling ke tempat asal setelah berniat, seterusnya meneruskan
solat. Selagi boleh bersolat, dia akan bersolat.
Pukul 9.45. Kereta
api selamat tiba di stesen Johor Bahru. Ahmad turun. Melambai-lambai dalam hati
tanpa menoleh ke belakang. Kereta api ditinggalkan meneruskan perjalanan ke
‘Singapore’ seperti kata ibu Wan Athirah. Selamat tinggal kereta api. Ada
jodoh, bertemu lagi. Terima kasih Surat-surat Perempuan Melayu Johor kerana
menamani Ahmad. Terima kasih biskut kerana mengisi perut kecil Ahmad. Terima
kasih Wan Athirah. Kau buat Ahmad tersenyum dan yang pasti Ahmad tak akan
terjumpa Wan Athirah lagi, agaknya. Terima kasih.
*sungguh, Ahmad terlupa bab Ikhtilat!
*sungguh, Ahmad terlupa bab Ikhtilat!
No comments:
Post a Comment