Thursday, November 10, 2011

Sila faham

Salamalaik

Salah satu sebab kenapa manusia menulis atau menaip, adalah untuk menyampaikan maklumat. Ya lah, maklumat boleh jadi macam-macam jenis maklumat. Maklumat dunia, maklumat setempat, maklumat tentang perdagangan, maklumat tentang undang-undang sehinggalah maklumat tentang diri sendiri. Semua itu maklumat. Supaya yang lain boleh mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Sasaran penerima maklumat itu juga pelbagai dan bukan semua orang disasarkan untuk menerima sesetengah maklumat. Contohnya, kita tak tahu mengenai polisi terkini di sesebuah Kementerian atau di sesebuah syarikat kerana maklumat tersebut tak disasarkan kepada kita.

Pencetus kenapa maklumat disasarkan juga berbeza. Ada yang punya objektif yang tepat dan tersendiri. Ada pula yang tiada sebab yang jelas dan kabur objektifnya. Bagi aku, selalunya, hati yang gundah dan gelisah buat aku terasa nak menaip sesuatu. Ya, itu satu maklumat jika anda baca dengan teliti ayat-ayat yang aku taip.

Sering kali ada persoalan yang ingin ditimbulkan oleh penyampai-penyampai maklumat melalui medium penulisan selain dari menyampaikan maklumat. Dalam sesetengah kes, maklumat bukanlah disampaikan dengan satu tujuan mutlak iaitu memberi maklumat, tetapi pada masa yang sama, menimbulkan persoalan kepada pembaca. Misalnya, "apa sebenarnya yang berlaku?" atau "apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu maklumat itu disampaikan?" atau juga "apa penyelesaian kepada masalah yang diutarakan?".

Namun, bukanlah semudah itu untuk penyampai maklumat dan penerima maklumat dapat menghadam proses-proses penyampaian dan penerimaan maklumat apatah lagi maklumat itu sendiri. Komunikasi adalah satu elemen yang penting dalam memastikan keberkesanan proses integrasi maklumat antara penyampai dan penerima. Terdapat banyak penghalang kepada sistem komunikasi yang berkesan dan diantaranya ialah segan, malu, medium penyampaian yang tidak efisyen, terlalu berhati-hati, dan tidak lupa egoistik. Ya, sikap manusia sendiri adalah penghalang kepada sistem komunikasi yang berkesan.

Akhir kata, komunikasi dan maklumat adalah dua elemen yang memerlukan antara satu sama lain. Anda akan faham seluruh penyampaian maklumat aku di atas jika anda teliti betul-betul kerana maklumat itu tidak bersifat sebelah muka sahaja. Ada yang tersurat dan ada yang tersirat, kalaulah anda faham.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment