Saturday, February 6, 2010

Al Kisah Kesultanan Bulan (bukan cerita politik)



(sekadar gambar hiasan)

       Aku ingin kisahkan kamu satu cerita. Cerita tentang sebuah kerajaan. Maaf, ini bukan kisah politik. Teliliti dan hayati. Al kisah, seorang peneraju Kesultanan Bulan berhajat melaksanakan 'spot check' ke atas rakyatnya. Tujuannya tidak lain dan tidaklah bukan hanya ingin memantau apa yang sebenarnya diperbuat rakyatnya yang cergas-cergas belaka itu. Adakah tahajudnya?, hafazannya?, qiamnya?, mahupun maksiat yang sememangnya dibenci mati-matian.


         Si sultan Kerajaan Bulan ini bukan kepalang lagi cintakan rakyatnya apatah lagi mahu melihat rakyat yang dicintai dibaham api neraka Allah. Na'uzubillah. maka, skuad pemeriksaan berkala dan tanpa diramal-ramal rakyatnya itu pun mulalah bergerak. Dari satu negeri ke negeri. Dari metropolitan ke ceruk-ceruk desa.

Dipendekkan, di mana adanya rakyat Kesultanan Bulan di situlah mereka menapak. Dipendekkan lagi, satu konflik telah berlaku ke atas setiap pegawai penguatkuasa kesultanan bulan dan rakyat. Atas mahukan seperti apa yang dimahukan oleh Sultan yang turut berniat suci putih; yakni melihat rakyatnya bersih dari noda dan dosa, pegawai penguat kuasa memeriksa setiap inci daripada rakyatnya.

Maka, secara automatiknya timbullah suara-suara sumbang lagi membingitkan dari mulut-mulut rakyat yang semamangnya tidak nampak bahkan merasakan kasih sayang seorang pemerintah. "Ini sudah mengganggu hak privasi kami" , "Tak patut punya kerajaan", "Anjing punya pegawai penguatkuasa" dan berbagai-bagai kata nista lagi. Aku tidak berniat untuk menyambung kisah ini lagi.
                                                           

                  **************************
      Sebagai pembaca yang berwibawa dan punya akal dan fikiran, anda sudah semestinya mampu mengeluarkan buah fikiran yang bernas lagi terbaik dalam kelasnya yang tersendiri mungkin. Bahkan, menyelesaikan kisah ini pun tidak menjadi masalah, bukan?.

Namun, ingin ditegaskan, bagaimana si peneraju kesultanan tersebut memanifestasikan rasa cinta dan kasihnya pada rakyatnya bukanlah fokus utama kisah ini. Ia adalah sekadar tamsilan kepada bagaimana Allah S.W.T. memperlihatkan cintaNya kepada hambaNya melalui berbagai-bagai bentuk dan jenis hukum-hakam yang sering kali dipersoal membuta-tuli, membabi-buta oleh kita yang bergelar hamba. Bahkan, hamba yang serba daif ini, merungut untuk melaksanakan hukum-hakam tersebut tanpa sebarang rasa malu. Malulah kita yang bergelar hamba ini kawan, malu!

Pokoknya, bukan semua yang kita sebut sebagai 'menindas' , 'tidak patut' , 'menyusahkan' dan lain-lain yang seangkatan membawa kepada makna tersirat di sebalik apa yang terjadi dan yang telah tersurat. Sesungguhnya di tiap-tiap kejadian itu ada hikmahnya yang telah dirancang oleh Sebaik-baik Perancang.

Ingin sekali berkongsi satu ayat dari kalam-kalam agung Allah S.W.T kepada hamba-hambanya;




"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Surah Al-Baqarah ayat 216.

dan ingatlah, Allah S.W.T. turut berfirman dalam surah As-Syarh ayat 5-6 ;








        “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”


     Pemahaman kalian tidak dipinta. Tetapi jika dengan izin Allah, kalian dapat mengerti apa yang ingin dikongsi, Alhamdulillah. Hamba ini tidak mampu menyampai, hanya sekadar berkongsi.

 wallahua'lam


No comments:

Post a Comment