Sunday, April 3, 2011

Cerita Hospital

di tengah-tengah cuti ni, aku semacam orang yang tak tentu hala tuju.


apa pengalaman yang aku dapat sepanjang cuti yang dah masuk tiga minggu ni?
selain dari bermalam di hospital, belum ada lagi new major experience yang aku peroleh setakat tiga minggu cuti ni.


"Oscar has a fever" by sketcher 2007 via deviantart


Cerita Hospital.


Ceritanya bermula dengan demamnya adik aku.


Lebih kurang seminggu demamnya. Bermula dengan lawatan sambil belajar di sebuah klinik berdekatan rumah, demamnya tak kebah-kebah walau dah masuk tiga hari. Risau dengan perkembangan  tu, ayah dan ibu aku mengambil keputusan untuk membawa adik aku melawat ke sebuah klinik lagi. Kali ni, doktor klinik tu pakar kanak-kanak dan seorang Singh lebih tua dari ayah aku (yakni lebih sedekad umurnya atau lebih) yang 'gentle' gayanya. Usai membayar harga ubat yang jauh lebih murah dari klinik yang berdekatan dengan rumah aku tu, lawatan yang disertai aku sebagai pemandu dan mak aku termasuk adik aku, kami terus pulang. Seingat aku, hari lawatan tu, hari Isnin. Sebab tulah, aku yang jadi pemandu akibat ketiadaan ayah aku yang bekerja.


Kemudian, genap tiga hari, adik aku yang disahkan bernanah tongsilnya, kelihatan sihat ceria. Tapi, ia bukanlah penamat cerita ini bahkan ia adalah permulaan cerita hospital ni. Sebaik saja adik aku sihat, sekarang giliran aku dan ibu pula. Aku ingat mulanya cerita sakit aku. Hari Jumaat. Bangun pagi, kepala sudah berpinar-pinar. Panas. Tapi, digagahkan juga memulakan hari dengan menjadi pemandu adik aku untuk ke tadikanya. Balik rumah, baring dan tidur. Jumaat? Aku tak mampu bangun. Baring dan tidur. Sampai ke malam, baring dan tidur. Bangun hanya untuk solat. Makan pula hilang seleranya. Mulalah angin berpusu-pusu mengisi perut.


Cerita yang sama berulang-ulang sehinggalah masuk hari Isnin, yakni hari keempat aku demam. Baring dan tidur. Sehingga aku dah tak larat nak tidur.


"Dah teruk macam ni, pergi hospital je lah. Ibu, siapkan beg. Nak pergi hospital mana?," lebih kurang begitulah kata-kata ayahanda apabila pulang ke rumah, melihat aku yang berbaring kepanasanan dek demam yang tak kebah-kebah.



hospital yang diperkatakan tersebut.


Aku sebolehnya mengelak untuk dibawa ke hospital. Difikirkan betapa seksanya nak hidup kat hospital dengan demam-demam yang memang sah-sahlah tak selesa. Tapi, apakan daya, keputusan sudah dibuat, beg sudah disiap. Cuma diberi kuasa untuk membuat pilihan hospital yang mana ingin dipilih. Swasta. Sungai Petani atau Permatang Pauh. Aku pilih yang kedua dan sekarang aku rasa pilihan aku tepat.


Tak berniat nak cerita panjang-panjang. Berbekalkan kad Takaful, aku cuba menyesuaikan keadaan dan suasana hospital swasta tersebut. Dimulakan dengan cucukan jarum yang bakal menjadi 'pintu' utama bagi kemasukan pelbagai jenis ubat, aku diorientasikan beberapa perkara tentang hospital tersebut oleh seorang kakak juru rawat yang muda. Sebenarnya, semua juru rawat dan kebanyakan pekerja hospital adalah muda-muda belaka yakni merupakan satu berita baik bagi aku.


Empat botol Sodium Chloride. Ya! Seingat aku, jumlah empat botol air garam mengisi tubuh aku selama empat hari lawatan aku di hospital tersebut. Dua kali ambil darah. Sebotol air kencing. Tu, fakta nombor sepanjang peraduan aku di sana. Makanan? Sedap. Dari tak selera nak makan, terlebih selera pula jadinya. Aku menunggu setiap waktu makan dengan sabar. Menu boleh dipilih. Pendek kata, baiklah segalanya. Yang paling penting, customer service yang tip top oleh kakak-kakak juru rawat. Alhamdulillah.


Empat hari. Aku kira, aku bersyukur pengalaman masuk hospital kali pertama aku, venuenya hospital swasta tersebut. Alhamdulillah, Tuhan kurniakan kesihatan. Aku sangka, aku dah tak lama. Terima kasih buat ayah, ibu, adik-adik, Pak Cik Din, Mak Cik Rahmah, dan semua yang ingat aku. Aku ingat lagi, malam pertama aku di hospital, di sebalik kegelisahan dan kepanasan yang timbul di sebalik sejuknya pendingin hawa hospital, aku kerap mengingatkan diri aku bahawa ini adalah satu pengalaman yang baru. Nikmatilah pengalaman ni. 


Cerita panjang pun tak guna. Akhir kalam, inilah cerita hospitalku. Satu lagi mozek kehidupan yang telah aku terokai di sebalik berjuta-juta lagi kepingan mozek yang belum aku temui.

1 comment:

  1. nampak terok bebenor demamnye... tp alhmdulillah... diberikan kesembuhan olehNya...

    ReplyDelete