Saturday, February 5, 2011

Sudah 12 hari...

...berlalu sejak hari pertama revolusi kebangkitan rakyat Mesir. 

Hosni Mubarak. Dia insan yang menjadi selebriti utama dalam cerita revolusi kali ini. Sumpah seranah rakyat Mesir yang mahu selebriti ini turun dari tampuk pemerintahan negara utara Afrika ini telah berlarutan sejak 12 hari lalu.

Medan Tahrir sesak. Sejak dua hari lepas, entah dari mana, tiba-tiba kumpulan pro-Mubarak muncul. "30 tahun aman, 9 hari kekacauan. Kekalkan Mubarak!" lebih kurang begitulah sahutan mereka. Begitu lambat sekali mereka timbul. Mungkin cukup lambat untuk dirancang dan dibayar kumpulan besar ini. Mungkin.

Malaysia. Negara indah di Asia Tenggara. Menikmati suasana politik yang agak memeningkan namun cukup stabil (sekurang-kurangnya KLCC masih penuh dengan premis-premis perniagaan pelabur-pelabur asing) kelihatan agak terkesan dengan suasana politik semasa Mesir. Sejak 12 hari lepas jugalah ramai juga yang resah. Yang ramai itu, ibu bapa, saudara-mara, rakan taulan, dan tak lupa warga Malaysia yang prihatin akan keresahan warga yang lain. Resah akan keselamatan anak-anak mereka yang jauh di perantauan. 

Lelaki, perempuan. Ramai juga yang berkelana di Mesir. Lebih kurang 11 000 mereka yang memegang kad pengenalan Malaysia dipastikan berada di sana. Majoritinya belajar, dan selebihnya bekerja. Tersebar di Kaherah, Alexandria, Mansoura, Tanta, Damanhur dan beberapa kawasan di Mesir, mereka tersekat di sana.  Di tengah-tengah ketegangan dan revolusi yang sekian lama dipendam rakyat. Tersepit di tengah-tengah pertembungan antara penindas dan tertindas. 

12 hari berlalu sejak hari pertama. Di sebalik kesesakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah yang penuh dengan warga asing yang bertekad mahu pulang ke tanah air masing-masing tidak kira dengan bantuan kerajaan mereka atau tidak, ramai warga Malaysia tersekat di sana. Tetapi, tidak pada hari semalam. Proses evakuasi rakyat Malaysia ke Jeddah telah bermula. Sebenarnya, ada yang sudah pulang ke tanah air tanpa perlu menunggu lama ihsan kerajaan Malaysia. Bagi yang menunggu, ibu bapa mereka boleh menarik nafas lega kerana, insya-Allah anak-anak mereka bakal dibawa keluar dari Mesir 'secepat' mungkin. Terima kasih.

Terima kasih kerana membantu. Itu memang tanggungjawab anda. 

Alhamdulillah. Lega hati ayah bila tahu kakak sudah berada di Lapangan Terbang Kaherah dan sedang menunggu giliran untuk di ba wa ke Jeddah. Alhamdulillah. 


*update : kakak selamat tiba di Jeddah pada pukul 5.30 pagi waktu Malaysia tadi. Alhamdulillah. Hati ayah dan ibu sangat lega sekarang. Terima kasih kepada semua yang prihatin dan mendoakan. 


No comments:

Post a Comment